SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Kuala Slim (SKKS) telah didirikan pada awal tahun 1949. Ketika itu namanya ialah Sekolah Melayu Kuala Slim. Ia dibina hasil kerjasama penduduk kampung secara bergotong royong.
Guru Besar pertama ialah En. Abd. Manas b. Md. Yasin. Beliau bersara pada 1 Mei 1956. Digantikan oleh En. Saidin b Maamor. Sejak awal pembukaannya hanya menampung murid-murid Darjah 1 hingga Darjah 5 sahaja. Apabila naik Darjah 6, murid-murid sekolah ini terpaksa pergi ke Slim River. Pada tahun 1962 darjah 6 diwujudkan.
Pada tahun 1974, En. Saidin b Maamor telah ditukarkan ke SK Trolak Selatan sebagai guru besar.Tempat beliau diambil alih oleh En. Kamarulzaman b Harun yang sebelumnya adalah guru besar SK Behrang Stesyen.Semasa beliau berkhidmat di sini, sebuah bangunan baru dua tingkat telah dibina berdasarkan pertambahan murid dari setahun ke setahun. Bangunan ini siap pada tahun 1967.

Pada akhir 1979, En. Kamarulzaman ditukarkan ke SK Trolak Selatan dan digantikan oleh En. Saidin b Zakaria dari SK Batu Tiga, Tapah. En. Saidin berkhidmat di sini tidak lama kerana di arah bertukar ke SK Slim River.

Pada bulan April 1981, En. Zainal Abidin b Abu Bakar, guru besar SK Behrang Ulu mula menjalankan tugasnya di SKKS sehinggalah beliau bersara pada 14 April 1989.

Pada 16 November 1981, tiga orang guru penolong kanan dihantar bertugas di sekolah ini. Mereka ialah En. Mohammad b Mat Arip (PK Pentadbiran), Tn. Hj. Ahmad b Ismail (PK HEM) dan En. Mustafa b Mat (PK Kokurikulum).

Pada 20 Januari 1989, En. Mohammad b Mat Arip dinaikkan pangkat sebagai guru besar di SK Aminuddin Baki, Slim River dan digantikan oleh En. Rooslan b Ahmad dan pada 14 April 1989 memangku jawatan guru besar kerana Tn. Hj. Zainal bersara.

Pada 16 Mei 1989, Tn. Hj. Saiful Yasan b Hj. Jalaluddin (PK HEM SK Trolak Utara) telah dilantik sebagai guru besar. Beliau berkhidmat di SKKS selama 2 tahun 4 bulan. Pada 16 September 1991, En Abu Masuut b Shafie ( Guru besar SK Sg. Raya, Kg. Kepayang) telah ditukarkan ke SKKS dan pada 1992, beliau bertukar pula ke Bahagian teknologi Pendidikan, KPM di Kuala Lumpur.

Tn. Hj. Mohd Tahir b Shaarip PJK, Pk (Guru Besar SK Slim River menggantikan En.Abu Masuut sehinggalah hari persaraan beliau yang jatuh pada 19 Januari 1994. Pada 1 Februari 1994, guru besar SK Besout 4 iaitu En. Mohd Sahar b Baharuddin PPT, PJK pula diarahkan berkhidmat di SKKS sehinggalah bersara pada 30 Mei 1998.

Pada 1 Jun 1998, en. Khalil b M.Lodin (PK Pentadbiran SK Trolak Selatan) pula dinaikkan pangkat sebagai guru besar di SKKS. Semasa beliau berkhidmat di sini, bangunan makmal komputer dibina. Kewujudan makmal komputer ini banyak memberi manfaat kepada murid-murid kerana tidak terasing dalam arus ledakan teknologi maklumat seiring pula dengan dasar PPSMI. Pada 1 Oktober 2003, beliau bertukar ke SK Trolak Selatan dan tempat beliau diambil alih oleh Pn. Hjh. Fadzlah bt Yusof (Guru besar SK Sungai Behrang). Beliau adalah satu-satunya guru besar wanita di SKKS setakat ini. Beliau dibantu oleh Pn. Mon Rasidah bt Sulaiman (PK Pentadbiran), Pn. Maznah bt Abd. Mutalib (PK HEM) dan Pn. Sapiah bt Othman (PK Kokurikulum). Beliau berkhidmat di SKKS sehingga bersara pada 1 Januari 2011 dan tempat beliau digantikan oleh En. Sulaiman b Nordin bermula Februari 2011 yang sebelum ini merupakan guru besar SK Besout 3.
                                               GAMBAR NOSTALGIA